Pada 3 Februari 2026, Yayasan AIDS Malaysia bersama Teratak Kasih Tok Nan telah menganjurkan Majlis Perasmian Yayasan AIDS Malaysia Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Bintulu bertempat di Bintulu, Sarawak.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia yang mewakili YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia, serta YBhg. Datuk Amar Hajah Jamilah Binti Haji Anu, Penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato’ Indera Dr. Sha’ari bin Ngadiman, Timbalan Pengerusi Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia, YBrs. Encik Jasmin Jalil, Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia, YBrs. Dr. Ruziana binti Miss, Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen HIV, STI dan Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak merangkap Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan Sarawak, YB Tuan Johnny Pang Leong Ming, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, serta YM Tengku Noraida Tengku Mahmood, Ketua Operasi Yayasan PETRONAS.
Penubuhan Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Bintulu melengkapkan rangkaian perkhidmatan sedia ada di Sarawak yang kini turut beroperasi di Kuching dan Miri. Teratak Kasih Tok Nan merupakan ilham YBhg. Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Binti Haji Anu, sebagai simbol legasi keprihatinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem terhadap kesejahteraan rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang.
Perasmian cawangan baharu ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan peluasan perkhidmatan sokongan yang inklusif, saksama dan berfokuskan komuniti, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
Inisiatif ini turut menerima sokongan berterusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kebajikan dan kesihatan awam yang berteraskan kepentingan rakyat.










